UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGERI SABAH

Pada 28hb Jun, 2008, Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) Majlis Belia Sabah (MBS) Kali ke-12 telah diadakan bertempat di Palace Hotel, Kota Kinabalu. MPAT kali ini menyaksikan pertukaran tampuk pimpinan Majlis Belia Sabah yang merupakan badan penggerak belia terunggul di Sabah.

Pemangku Presiden MBS, Datuk Awang Zainie Hj. Suntim (Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah/KPPNS) yang telah menjawat jawatan Timbalan Presiden sejak awal penubuhan MBS (1995) dan menjadi tunggak kepimpinan MBS sepanjang 13 tahun ini telah mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin muda untuk menerajui Majlis ini. Ucapan dasar yang beliau sampaikan semasa MPAT kali ini adalah merupakan ucapan beliau yang terakhir selaku peneraju MBS.

Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah (PPMCS) telah menjadi tulang belakang pelaksanaan program MBS semenjak awal penubuhannya di bawah pimpinan Datuk KPPNS kita. Dan melalui MBS, martabat, imej serta status PPMCS juga telah mula dapat dibangkitkan kembali hingga ke tahap yang ada pada hari ini. Melalui MBS ahli-ahli Pengakap Sabah telah dapat menyertai beberapa program yang mantap dan bernilai seperti Khemah-khemah Kerja Belia, Larian Bendera, Motothon, Kem Merdeka, kempen-kempen dan banyak lagi program lainnya.

Melalui MBS juga Pengakap Sabah sedikit sebanyak juga berupaya mengukuhkan kedudukan dana yang telah membolehkan program-program Pengakap dianjurkan di peringkat negeri, bahagian dan juga daerah. Berikut merupakan wakil Pengakap Sabah dalam Majlis Tertinggi MBS yang turut sama mengundurkan diri bersama-sama KPPNS kita.

1) A.M. Yaakub Hj. A.D. Yahya (Pen. Pesuruhjaya Negeri)

- EXCO MBS

2) Ahmed Tariq Datuk Aripen (Pen. Pesuruhjaya Negeri)

- EXCO MBS

3) Nourain Datuk Awang Zaini (Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri)

- EXCO MBS

4) Azman Badu (Pesuruhjaya Daerah Sembulan)

- Setiausaha Agung MBS

Manakala, berikut merupakan wakil-wakil Pengakap Sabah yang telah dipilih sebagai ahli Majlis Tertinggi MBS dalam tampuk kepimpinan yang baru.

1) Nourman Rayn Datuk Ag. Zaini (Pen. Pesuruhjaya Negeri)

- Naib Presiden MBS

2) Makrin bin Sudi (Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri)

- EXCO MBS

3) Mohd Suhaimi Mohamed Husain (Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri)

- EXCO MBS

4) Dyah Shintawati Sunjoto (Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri)

- EXCO MBS

Dalam kesempatan ini, saya bagi pihak perwakilan baru Pengakap Sabah seperti tersebut di atas ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih di atas kepercayaan yang diberi oleh KPPNS kepada kami untuk menjadi suara dan duta Pengakap Sabah di dalam MBS dan juga setinggi-tinggi penghargaan kepada KPPNS serta para perwakilan yang lama di atas segala sumbangan dalam memajukan Pergerakan Pengakap di Sabah melalui MBS.

Saya juga ingin menyeru kepada ahli-ahli Pengakap Sabah untuk sama-sama berkongsi rasa dalam ‘thread’ perbincangan dengan tajuk yang sama dalam Sabah Scouts United Group (SSU) dan sekiranya ada, ucapan penghargaan setulus hati anda terhadap Y.Bhg. Datuk KPPNS kita di atas segala pengorbanan, sumbangan jasa dan bakti sepanjang memegang tampuk pimpinan MBS dalam memajukan lagi Pergerakan Pengakap yang kita cintai ini.

Pendapat, ucapan dan perkongsian rasa anda dalam ‘thread’ perbincangan tersebut akan kami zahirkan dan dipersembahkan kepada Datuk KPPNS kita sebagai pengiktirafan ahli SSU terhadap kepimpinan beliau selama ini.

One Response to “UCAPAN PENGHARGAAN KEPADA KETUA PESURUHJAYA PENGAKAP NEGERI SABAH”

  1. ATA Says:

    Ryan, sekarang kaulah menjadi harapan kami di PPMCS. Semoga berjaya!

Leave a Reply