Archive for December, 2007

HAI..EPOLET MERAH, VIGIL & AHLI BERSEKUTU

Sunday, December 23rd, 2007

Pengakap Sabah sedang dalam proses memperbaiki dan memulihkan semula sistem pentadbirannya. Oleh yang demikian, terdapat beberapa perkara/kebiasaan di daerah selama ini yang perlu dirombak semula kembali ke asalnya.

1. UJIAN MENGENAL DIRI PENGAKAP KELANA (Vigil)

Sepanjang tahun ini, saya berkesempatan melawat ke beberapa acara yang diadakan di daerah-daerah dan bahagian seluruh Sabah. Apa yang saya perhatikan ialah terlalu ramai Pengakap Kelana yang mengenakan epolet merah walhal berita hidup matinya kumpulan mereka tidak pernah pun sampai ke negeri. Yang menjadi persoalan di kepala saya ialah, bagaimana mereka melalui ujian serta istiadat yang membolehkan mereka memakai epolet kelana? Ataupun main pakai ikut suka saja. Memang menjadi hasrat negeri untuk menghidupkan semula Unit Pengakap Kelana di seluruh negeri, tetapi bukan atas dasar mengorbankan kualiti serta kelayakan demi untuk mencapai kuantiti. Ianya bermula dengan siapa yang menjalankan vigil di peringkat kumpulan. Kelana adalah merupakan golongan istimewa dalam hierarki Pengakap kerana sifat semulajadi unitnya yang ‘versatile’. Ada aktiviti, latihan kemahiran dalam hidup, seni bermasyarakat dan juga latihan kepimpinan. Oleh itu, susunan salasilah amatlah dititikberatkan dalam Pengakap Kelana bagi mengelakkan ‘ajaran sesat’ yang kian menular di kalangan Kelana sekarang. Salasilah yang dimaksudkan ialah siapa yang menjalankan vigil, invest (tabal) serta siapa pula yang terlebih dahulu menabal golongan penabal baru ini. Unit Kelana adalah terletak di bawah pengawasan terus (direct) oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri kita sejak sekian lama. Beliau hingga ke hari ini masih boleh mengingati nama-nama setiap pemimpin Kelana yang pernah menabalkan Kelana baru (dulu beliau merupakan Setiausaha Pengakap Negeri utk jangkamasa yang lama dan semua fail-fail berkaitan kebanyakannya ditulis oleh beliau sendiri). Jangan nanti sampai terjadi beliau bertanya kepada Kelana sekarang "Siapa menabal kamu? Siapa pula yang menabal penabal kamu itu?" Kalau tidak terjawab, bukankah anda akan malu sendiri seperti yang terjadi di peringkat negeri 2-3 bulan lepas. Jadi, untuk menyeragamkan semula kaedah serta cara menjalankan vigil, Mesyuarat Pesuruhjaya-pesuruhjaya Negeri dan Pasukan Latihan Negeri telah menerima arahan Ketua Pesuruhjaya Negeri berkaitan siapa yang boleh menjalankan vigil. Kemudian, ‘waris’ daripada mereka ini barulah boleh memulakan salasilah menurunkan pula kepada ahli Kelana baru apabila mereka telah layak kelak. Buat masa ini, di Sabah, hanya Pemimpin berikut yang layak menjalankan vigil dan diiktiraf oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri selain daripada dirinya sendiri.

i) Encik Philip Chin Saw Voon

ii) Encik Mohammad bin Majid

iii)Encik Mohd. Isa Satok

iv) Encik Asim bin Hj. Ag. Yusop

v) Encik Ahmed Tariq Aripen

Kumpulan yang berhasrat untuk menjalankan vigil atau pertabalan Kelana haruslah membuat pemberitahuan kepada pihak negeri agar ada rekod yang boleh kami simpan. Pertabalan boleh dilakukan oleh Pesuruhjaya Daerah HANYA setelah mendapat kuasa daripada Ketua Pesuruhjaya Negeri. Jangan berpandukan kepada buku skim semata-mata kerana kita Pengakap di Sabah mempunyai autonomi dan kuasa tertentu yang dipegang oleh Ketua Pesuruhjaya Negeri berbeza dengan negeri yang lain.

2. KEAHLIAN AHLI BERSEKUTU PPM

Memang diakui pendaftaran Ahli Bersekutu di peringkat kebangsaan akan memudahkan ahli Pengakap kerana keahlian yang hanya perlu diperbaharui setiap 10 tahun dgn bayaran RM 150.00. Tetapi, berbalik pada soal autonomi Pengakap Sabah di atas, setiap ahli Pengakap haruslah mengajukan permohonan mereka terlebih dahulu kepada Ketua Pesuruhjaya Negeri. (sebaik-baiknya beliau menjadi pencadang kepada pemohon). Ini kerana terdapat segelintir Pemimpin dan ahli Pengakap yang mendaftar secara terus ke PPM dan ini secara langsung menampakkan rasa tidak hormat kepada kepimpinan negeri. Bukan budaya sebegini yang ingin kita pupuk dalam Pengakap. Dalam mesyuarat Pesuruhjaya-pesuruhjaya Negeri awal tahun ini dan dalam Persidangan Pesuruhjaya-pesuruhjaya pada bulan Ogos lalu, Datuk Ketua Pesuruhjaya Negeri telah menegur sikap sebegini dan manamakannya sebagai tindakan ‘kurang sihat’. Jadi, sekiranya kepimpinan negeri sudah tidak lagi dipandang, lebih baik buang lencana ‘Sabah’ pada pakaian seragam dan tubuhkan sebuah negeri baru. Bukannya apa, sekiranya pendaftaran ke PPM tidak diketahui oleh negeri, apabila banci dikeluarkan serta penyertaan untuk sesebuah program ditapis berdasarkan rekod pendaftaran, ahli-ahli yang tersebut di atas meluahkan pulan rasa tidak puas hati kepada negeri kerana nama mereka tidak disenaraikan sebagai ahli berdaftar. Perkara ini telah berlaku di masa lepas dan saya sendiri menjadi saksi serta mangsa luahan tersebut. Jadi, sudah tiba masanya untuk timbang-tara.

PRIORITY & SACRIFICE

Friday, December 21st, 2007

Ini lagi satu masalah dalam Pengakap di Sabah ni…kebanyakan ahli Pengakap seakan tidak tahu membezakan antara perkara yang Mustahak, Penting, Kurang Penting dan Tidak Perlu.

Apa tujuan kita berpengakap? Memang sudah digariskan bahawa Berpengakap adalah FUN..WITH A PURPOSE..Bukan sekadar enjoy dan bersukaria kosong semata-mata.

Ada yang mendakwa berjiwa Pengakap (unit terserah laa..mana-mana unit) tetapi benarkah mereka menghayati cara hidup Pengakap sebenar? Ada yang menamakan diri mereka sempena pangkal nama Pengasas Pengakap (maaf jika ada yang tersinggung, tapi perkara ini perlu dijelaskan, jangan nanti Pengakap bakal menampakkan kejahilan dan kurang ilmu mereka)..tetapi tahukah mereka ini apa kepentingan dan maksud hatta nama penuh pengasas kita sendiri ataupun cara menyebutnya? Jangan main ambil tangkap muat sahaja untuk menunjukkan yang kita bersemangat serta menyokong sesuatu atau seseorang. Perhati dan selidikilah terlebih dahulu boleh atau tidaknya kita menggunakan sesuatu itu tanpa menyinggung mana-mana pihak. Manalah tahu ada sesetengah perkataan hanya khusus untuk golongan tertentu yang mana sekiranya digunakan oleh orang lain, akan menyinggung mereka ini. Kalau diturutkan hati, saya pun mahu sedemikian kerana saya sendiri sudah berpengakap sebelum saya bersekolah lagi, kemudian menjadi Pengakap Kanak-kanak di St. Agnes, Pengakap Muda dan Remaja di SBPS (sekarang SMESH), Pengakap Kelana di KLKM dan Ibupejabat Sabah, Penolong Pemimpin dan Pemimpin di SBPS, Pesuruhjaya Ibupejabat Negeri hinggalah sekarang Penolong Pesuruhjaya Negeri. "I’ve tasted joy and tears in all levels of Scouting..and I am still around.." Jadi saya rasa semangat berpengakap yang saya ada tidak jauh kurang daripada mereka yang saya sebutkan di atas.

Saya agak terkilan dan merasa jauh hati di atas sikap sesetengah ahli Pengakap yang pada pandangan saya tertutup minda kepengakapannya dan tidak tahu menentukan ‘priority’ mengikut tahap Pengakapan mereka. Bukannya apa, saya berhempas pulas selama setahun merangka dan menyediakan program serta mencipta peluang untuk para pemimpin memajukan diri serta mendapat pengiktirafan, tetapi kesempatan ini telah disia-siakan oleh segelintir pemimpin muda yang saya harap dapat memanfaatkannya. Soalan yang ingin saya utarakan ialah, mana yang lebih penting? Aktiviti yang boleh dianjurkan pada bila-bila masa oleh sesiapa saja, ataupun peluang mendapat pengiktirafan yang hanya boleh dianjur oleh peringkat yang tertinggi dalam negeri dan mungkin bagi kali yang terakhir? Saya tahu tidak salah bagi pemimpin memilih jalan sendiri tetapi apabila sudah mula memperkatakan (walaupun secara bergurau) tentang kebaikan yang itu berbanding ini; rugi tidak ikut itu dan ini; ianya bagaikan satu tamparan bisa tepat ke muka orang yang benar-benar ingin membantu. Seakan keikhlasan untuk membantu diremehkan dan ada perkara yang didakwa lebih baik daripada itu.

Cuba kita renungkan senario berikut : (penglibatan unit Pengakap)

PENGAKAP KANAK-KANAK - 60% Bersukaria, 40 % mengalihkan tenaga berlebihan ke arah sesuatu yang positif.

PENGAKAP MUDA - 50% Bersukaria, 50 % latihan kemahiran asas dalam Pengakap dan kehidupan.

PENGAKAP REMAJA - 40% Bersukaria, 40 % Latihan dan amali kemahiran lanjutan dalam Pengakap, 20 % Penglibatan dalam masyarakat.

PENGAKAP KELANA - 20% Bersukaria, 20 % latihan kemahiran tertinggi dalam Pengakap dan kehidupan, 30 % Menyumbang kepada pergerakan Pengakap dan masyarakat, 30 % latihan asas kepimpinan dalam Pengakap.

PEMIMPIN - 10 % Masa sukaria berkala, 50 % Sokongan kepada unit Pengakap, 40 % latihan lanjutan dalam kepemimpinan Pengakap.

PESURUHJAYA - 10 % Masa sukaria berkala, 10 % sokongan kepada Pemimpin, 25 % Latihan peringkat tertinggi dalam kepemimpinan Pengakap, 25 % latihan kepakaran, 30 % pengurusan dan pentadbiran.

Jadi, sekiranya anda faham maksud pembahagian di atas…secara sendirinya anda akan dapat menghuraikan apa sebenarnya tujuan dan untuk siapa anda Berpengakap.

Di peringkat awal, memang kita Berpengakap untuk diri kita sendiri…tetapi apabila anda sudah mencapai peringkat Kelana, anda sudah menjadi tulang belakang kepada kepemimpinan dan Berpengakap untuk diri sendiri sudah menjadi perkara kedua dalam susunan keutamaan (priority list). Perkara yang utama ialah Berpengakap untuk ahli Pengakap terutamanya unit yang letaknya di bawah daripada unit anda. Apatah lagi sekiranya anda sudah memegang jawatan.

Memang diakui seseorang menyertai Berpengakap atas dasar minat dan sekiranya aktiviti yang ditawarkan sudah kurang menarik minat anda dan oleh itu, tujuan anda menyertai pergerakan ini sudah mulai kabur kedudukannya. Jadi anda berhak untuk memilih aktiviti yang memenuhi citarasa anda. Tetapi pernahkah anda terfikir dilema serta cabaran yang dihadapi oleh golongan yang menganjur dan memimpin? Adakah anda bebas daripada tuntutan memenuhi tanggungjawab untuk melapisi serta menggantikan barisan kepimpinan yang sedia ada? Adakah anda ingin menjadikan kami golongan Pesuruhjaya ini sebagai penganjur hingga ke usia tua tanpa ada pengganti? Itulah hakikat pahit yang terjadi dalam pergerakan kita pada hari ini. Pemimpin tertinggi enggan mengiktiraf Pemimpin yang muda untuk menggantikan tempat mereka. Manakala Pemimpin yang muda lebih gemar pada aktiviti bersuka-sukaan tanpa memikirkan kepentingan untuk memajukan diri, kemahiran serta pengiktirafan mereka sendiri.

Perkara utama yang dilatih dalam Kepimpinan Pengakap ialah

1) Menetukan susunan keutamaan (priority listing)

2) Pengorbanan (Sacrifice)

Apa yang dikorbankan? Masa, wang ringgit dan tenaga. Itu memang diketahui umum. Tetapi yang kadangkala dilupakan oleh Kelana dan Pemimpin ialah masa beraktiviti dan bersukaria. Untuk menjadi Kelana bukan semudah menganjur atau mengikuti sesuatu program yang menarik minat anda. Kelana yang masih mengutamakan aktiviti dan membelakangkan latihan kepimpinan bagi saya kurang memahami susunatur kepentingan dalam Kepengakapan mereka. Malah saya berani menyatakan bahawa mereka yang bersikap sedemikian telah gagal Ujian Mengenal Diri (Vigil) ataupun langsung belum mendudukinya. Sebabnya, sekiranya anda telah menghayati Ujian Mengenal Diri dengan sebenar-benarnya, anda pasti tahu serta memperakui tanggungjawab anda kepada Pergerakan Pengakap dan apa yang diharapkan daripada anda oleh Kumpulan, Daerah dan Negeri. Jadi, jangan sewenang-wenangnya mengaku anda berjiwa Kelana sekiranya intipati Kelana itu sendiri belum anda fahami dengan sebenar-benarnya. Sifat mementingkan diri sendiri itu masih menebal dalam jiwa anda. Belum layak untuk diiktiraf sebagai seorang Pengakap Kelana.

Kursus Manikayu IV A baru-baru ini benar-benar telah membuka mata saya terhadap kualiti dan komitmen Kelana dan Pemimpin yang ada sekarang. Sekiranya faktor kewangan menjadi permasalahan utama, penyelesaiannya sentiasa ada. Anda boleh tanya rakan-rakan anda yang telah menyertai kursus tersebut yang menghadapi masalah sama, apa tindakan mereka? Apa kelonggaran yang telah diberikan kepada mereka sehingga mereka mampu untuk menyertai kursus tersebut? Saya telah mempertaruhkan nama baik, kesihatan, sumber malah kedudukan saya DEMI memastikan seramai mungkin Kelana dan Pemimpin dapat menyertai kursus ini bagi mengisi kekosongan barisan pelapis kepimpinan Pengakap Negeri. Ini kerana tidak ramai Pemimpin tertinggi yang ingin turun padang untuk melatih barisan Pemimpin muda sebagai pelapis kerana takut akan pencapaian Pemimpin bawahan yang bakal lebih tinggi daripada mereka sendiri.

Jadi, kepada anda yang telah mensia-siakan peluang yang telah dibuka depan mata anda (untuk makluman, kami dahulu tidak pernah mendapat peluang memajukan diri seperti zaman anda sekarang), bantulah saya menghuraikan dilema yang menimpa saya sekarang ini. Apakah tindakan yang harus saya ambil? Ini kerana sekiranya saya menurutkan rasa amarah serta logik saya, peluang anda untuk memajukan diri serta mendapatkan pengiktirafan kepimpinan anda pada masa hadapan amatlah tipis. Tetapi di sebalik itu, jiwa Pengakap saya menghalang saya daripada berbuat demikian kerana saya perlu mendapatkan penjelasan daripada anda sendiri. Saya tidak wajar menilai anda berdasarkan pandangan saya sendiri.

SUBORDINATION vs INSUBORDINATION

Sunday, December 2nd, 2007

Perkara ini memang sudah terjadi dalam Pergerakan Pengakap di Sabah…tetapi semenjak akhir-akhir ini..ianya telah semakin berlarutan dan menimbulkan komplikasi di antara Ibupejabat, Pemimpin di Daerah-daerah dan juga ahli Pengakap di bawah Pemimpin itu sendiri. Satu perkara yang harus diambil tahu oleh SETIAP Pengakap ialah PIHAK IBUPEJABAT NEGERI merupakan satu entiti dalam Pengakap Sabah yang berperanan mentadbir kemajuan dan pengurusan Pengakap di seluruh Negeri Sabah. Bukannya kecil skop tugas kami. Seramai lebih 50,000 orang ahli di sebanyak 700 kumpulan Pengakap seluruh negeri yang terpaksa kami puaskan hati mereka.. Perihal aktiviti, program, perkhemahan dsb…semuanya adalah terletak pada inisiatif dan kuasa Daerah untuk menganjurkannya. Buat apa kami lantik Pesuruhjaya Daerah dan mengeluarkan tauliah kepada Penolong Pesuruhjaya Daerah dan Pemimpin sekiranya kami di Negeri pulak yang terpaksa menganjurkan aktiviti untuk Pengakap. Tetapi apa yang terjadi di kebelakangan ini, ramai di antara Pemimpin yang telah kami berikan kepercayaan dan kami lantik telah seakan mengabaikan tanggungjawab mereka dan kurang melaksanakan program-program yang sepatutnya dijalankan. Dalam usaha untuk mempromosikan Pengakap, banyak maklumat telah disalurkan yang telah sampai kepada ahli Pengakap di peringkat akar umbi. Untuk apa Pengakap Sabah mengeluarkan belanja yang besar untuk siaraya program itu dan ini sekiranya apabila maklumat itu diterima, hasrat para Pengakap yang ingin menyertai program yang diwar-warkan tidak kesampaian kerana tiada penganjuran atau pengurusan di peringkat daerah mereka. Harus diingat oleh setiap Pengakap, pihak Ibupejabat Negeri sepatutnya tidak dibebankan dengan terpaksa menganjurkan program-program ‘picisan’ hanya kerana untuk memenuhi hasrat segelintir Pengakap yang bersikap positif dan aktif yang dahagakan program tetapi gagal untuk mendapatkannya penganjuran daripada Daerah. Ini kerana, Ibupejabat Negeri : 1. Tidak mempunyai sebarang kumpulan ahli Pengakap Kanak-kanak, Muda, Remaja dan Kelana di bawahnya, berlainan dengan Daerah. 2. Tenaga kerja di Ibupejabat Negeri adalah terhad..untuk pengurusan dan pentadbiran, boleh dikatakan hanya ada 1 orang sahaja. Bila diminta pertolongan pegawai yang lain, keadaan dan beban kerja yang sepatutnya semakin ringan menjadi semakin kusut dan berterabur kerana tiada konsistensi dalam komitmen kerja mereka. Oleh yang demikian, sejak 2-3 tahun yang lepas, Ibupejabat Negeri telah menganjurkan banyak program dan aktiviti peringkat daerah untuk menampung kekosongan yang ditinggalkan di peringkat daerah sendiri. Apabila sesuatu program dianjur oleh satu badan yang kurang tenaga kerjanya, maka program akan menjadi tidak teratur dan serba tidak sempurna. Ini mendorong kepada kecaman dan kritikan tidak membina yang tetap diterima oleh pihak Ibupejabat Negeri. Sehubungan itu, para Pemimpin harus menyedari kuasa prerogatif yang ada di negeri untuk, 1. Mendapatkan khidmat ahli Pengakap dari daerah secara terus untuk membantu menjayakan program Negeri. Berdasarkan hakikat bahawa Negeri tidak memiliki ahli Pengakap yang ditadbir terus di bawahnya. 2. Menolak bantahan SECARA LISAN dan BERTULIS daripada Daerah sekiranya tidak bersetuju ahli Pengakap mereka dikerah oleh negeri (walaupun pada hakikatnya tindakan sebegini oleh Daerah ini adalah tidak berapa wajar kerana kebanyakan ahli Pengakap yang dikerah untuk berkhidmat kepada negeri telah menawarkan khidmat mereka terlebih dahulu sebelum dikerah). 3. Bersikap adil kepada semua ahli Pengakap di setiap Daerah. (PEMIMPIN YANG TELAH DILANTIK UNTUK MENGANGGOTAI JAWATANKUASA DI PERINGKAT NEGERI harus lebih meluaskan skop bidang kuasa dan pemahaman mereka.) Mereka harus memberi layanan dan khidmat ADIL DAN SAKSAMA kepada semua Daerah tanpa mengira samada itu daerah mereka ataupun tidak. Jangan seperti segelintir Pemimpin yang hanya memberatkan kepada ahli-ahli Pengakap daripada Daerah mereka sahaja. Ada juga Pemimpin yang melarang ahli mereka daripada membantu di peringkat negeri. (Rasional atas tindakan ini sampai sekarang masih kabur lagi) Untuk perkara (3) di atas, ada yang mengatakan Pemimpin bertindak demikian atas dasar ahli Pengakap harus melalui Pemimpin di Daerah mereka sebelum ‘melangkau’ ke Negeri. Ini pada dasarnya memang benar tetapi kebanyakan Pemimpin yang terlibat dalam hal seperti ini adalah juga merupakan Pemimpin yang telah dilantik dan sering terlibat membantu program di peringkat negeri. Jadi mereka sepatutnya lebih arif mengenai masalah kekurangan tenaga kerja di peringkat Ibupejabat. Mereka ditarik ke Ibupejabat tetapi masih menghadkan skop pandangan dan pemikiran mereka setakat di daerah sahaja. Sudah tentu ini akan menyukarkan Negeri menjayakan program-program yang pada dasarnya adalah untuk dan sepatutnya dianjur oleh daerah sendiri. Pemimpin-pemimpin ini ingin melatih kepatuhan (subordinance) di kalangan ahli bawahannya..tetapi bagaimana pula dengan kepatuhannya terhadap pemimpin atasannya? Menghalang kejayaan program negeri walau atas sebab apa pun merupakan salah satu conton sikap tidak hormat dan patuh di kalangan Pemimpin daerah. Ini boleh kita kategorikan sebagai KHIANAT (TREASON)..di banyak negara lain..sehingga ke hari ini..kesalahan Khianat ataupun Treason boleh dijatuhkan HUKUMAN MATI. Mujurlah kita masih dalam sebuah pergerakan yang berteraskan prinsip toleransi dan persaudaraan. Kepada para Pemimpin di daerah, jangan menjadikan persaingan pencapaian sesama daerah sebagai penyebab kegagalan program negeri ataupun daerah yang lain. Bukan ini yang ingin kita lahirkan dalam Pengakap. Seboleh-bolehnya kita inginkan penyertaan ‘bercampur’ sesama daerah bagi membolehkan pertukaran idea dan perkongsian kejayaan dalam pencapaian. PRINSIP PENGAKAP BUKANLAH UNTUK MELAHIRKAN SESEBUAH DAERAH YANG CEMERLANG DARI SEGI PENCAPAIAN LENCANA DAN ANUGERAH TETAPI PADA MASA YANG SAMA, AHLI PENGAKAP YANG DILAHIRKAN BERSIKAP TINGGI DIRI DAN TIDAK MENGETAHUI PERKEMBANGAN DI DAERAH LAIN LALU MENJADI KERA SUMBANG DALAM PERSAUDARAAN PENGAKAP DI SABAH..seperti yang sudah ada kita lihat. biasala..inikan "kepimpinan melalui tauladan"..