Archive for November, 2007

SCOUT PERLU ADA ‘COMMON-SENSE’

Tuesday, November 27th, 2007

Mukadimah: PELAYAN ROHAYU YANG POYO..

Satu hari, saya bersama beberapa orang Pemimpin Pengakap lepak dan minum di Rohayu (mana Pengakap sekitar KK yg ndak kenal kan..). Bila pelayan dipanggil untuk kami membuat pesanan, saya bertanya, “..Ada sebarang jenis teh dalam tin?”. Tanpa syak dan ragu lagi pelayan tersebut menjawab, “Tiada bos, 100 plus jak.” Saya yang tidak puas hati lalu pergi sendiri melihat ke peti sejuk restoran, dan saya dapati bukan 1 malah ada 4 jenama teh bertin yang ada tersusun dalam tu. Ada Lipton, Roiboos dan Green Tea.

Di hari yang lain, sekali lagi saya bertanya soalan yang sama, dan cara serta jawapan yang sama saya terima. Saya yang terlebih awal melihat dahulu peti sejuk mereka jadi panas hati kerana pelayan tersebut merupakan orang yang sama..masih tiada perubahan dalam inisiatif bekerja. Ini mengingatkan saya pada satu cerita yang pernah saya baca…

Pada suatu hari di zaman dahulukala, Raja Siam sedang berperahu mudik ke hulu sungai dalam melawat negerinya. Dalam perahu tersebut selain daripada raja, terdapat Perdana Menteri dan 4 orang Pengawal yang sekaligus merangkap tukang dayung perahu. Di pertengahan perjalan mereka, pengawal terlihat raja dan perdana menteri sedang tidur, lalu berkata kepada temannya, “..tengoklah mereka tu, ndak adil pasal dorang sedap-sedap tidur manakala kita berpanas mendayung.” Raja yang tidur-tidur ayam terdengar perbualan mereka dan hanya berdiam diri sambil tersenyum.

Tidak lama kemudian, dari tebing sungai terdengar suara-suara rengekan kecil. Raja berkata, “Pengawal, berhenti sekejap, beta mahu kamu beritahu beta suara apakah itu.” Pengawal-pengawal pun melabuhkan perahu ke tepian sungai lalu berdiri termangu-mangu. Kata Raja, “Kalau beta kata beta mahu tahu, kamu kenalah pergi melihat ke arah bunyi tersebut, baru kamu boleh menerangkan kepada beta apakah ia.” Pengawal yang bercakap tadi pun pergilah melihat, lalu kembali, “suara anak-anak anjing Tuanku.” Raja kemudian bertanya, “Berapa ekor semuanya?” Sambil menggaru kepala, pengawal itu pergi semula ke tempat anak-anak anjing tersebut untuk melihat. Apabila kembali ke perahu dia berkata, “Ada empat ekor semuanya Tuanku.” Raja bertanya lagi, “Apa warnanya?” Sekali lagi pengawal tersebut terpaksa pergi melihat dan memberitahu Raja jawapannya.

Kemudian Raja mengejutkan Perdana Menteri yang sedang tidur lalu mengarahkannya melihat bunyi apakah itu. Perdana Menteri pun pergi dan apabila kembali dia berkata, “Ada 4 ekor anak anjing yang sedang menangis kelaparan tuanku, dua jantan dua betina dan semuanya berwarna perang.” Raja lalu berpaling pada pengawal tadi lalu berkata, “Kamu dengarkan..dalam sekali pergi saja Perdana Menteri mendapatkan maklumat yang serba lengkap berbanding kamu yang terpaksa berulang-alik tiga kali. Itu sebabnya dia merupakan Perdana Menteri manakala kamu hanya pengawal sahaja. Tugasnya untuk berfikir dan tugas kamu untuk bekerja.”…

Kenapa saya teringat cerita ini? Ini kerana sebelum itu, ada seorang pelanggan di sebelah meja berkata pada saya yang sedang panas hati, “Kalau dia bijak, tidaklah dia jadi sekadar pelayan yang poyo.” Saya terdiam sejenak. Di sebalik kenyataan kejam yang diluahkan itu, terdapat juga kebenarannya. Lalu saya teringat lagi senario yang sama di kalangan budak-budak Pengakap yang pernah ke Rumah BP. Ada juga yang berkelakuan seperti pelayan tadi.

1. Ramai yang berdiri termangu saja di hadapan Pemimpin yang sedang bekerja seorang diri. Tiada pun inisiatif untuk membantu Pemimpin tersebut kalau tidak diarahkan.
2. Apabila ditanya (terutamanya apabila ditanya mengenai benda seperti “cuba kamu tolong tengok adakah cangkul di kawasan asrama BP tu?”) mereka pergi dan selalunya kembali dengan mengatakan ‘Tiada skip’..walhal mereka tidak pun mencari bersungguh-sungguh..hanya sekadar agar dilihat oleh Pemimpin yang mereka pergi ke tempat yang telah diarahkan, soal mencari tu tidak penting bagi mereka.

Adakah Pengakap kita terlalu tolol dan dungu seperti kisah pengawal tersebut? Saya langsung tidak rasa begitu kerana rata-rata Pengakap yang saya sebutkan berperangai seperti di atas mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Apa yang boleh kita ambil iktibar dari sini ialah 3 perkara asas dalam kehidupan:

1. Jangan MALAS menggunakan otak. Kemalasan berfikir dan berinisiatif itulah yang menyebabkan Pengakap kita hari ini nampak seakan ‘tidak menghormati Pemimpin yang lebih tua’ serta jadi seperti ‘pahat’ yang hanya boleh berfungsi apabila ditukul.
2. Latih penggunaan ‘COMMON-SENSE’..serta keupayaan menentukan apa yang betul, apa yang salah, apa yang patut, apa yang kurang sesuai. Secara langsung, penggunaan common-sense di tahap yang optimum akan membolehkan kita berupaya menyesuaikan diri dalam apa jua keadaan dan dengan sesiapa pun.
3. Cakap hanya benda atau perkara yang diketahui. Perbincangan tidak salah dalam Pengakap dan kehidupan. Tapi, sebelum kita mengeluarkan kenyataan yang berupa ‘hukuman’ atau penilaian, kita harus terlebih dahulu mengetahui dengan mendalam perkara yang hendak kita cakapkan atau luahkan. JANGAN BERCAKAP TANPA ILMU kerana sepandai-pandai kita, sentiasa ada orang yang lebih pandai dan tahu. Jangan menampakkan kebodohan kita dengan berkata atau menerangkan sesuatu yang kita tidak tahu hujung pangkalnya (seperti … hanya melalui apa yang kita dengar dari orang lain). Sindrom ini banyak terjadi di kalangan Pengakap dan Pemimpin kita kebelakangan ini.

Kalau ketiga-tiga perkara ini kita amalkan, nescaya kita akan dapat mengatasi sedikit demi sedikit masalah disiplin yang terjadi di kalangan ahli Pengakap kita. (Ketiga-tiga perkara ini masih relevan hingga ke hari ini, bukan saja dalam Pengakapan malah dalam kehidupan seharian kita).

Asal Usul Woggle Gilwell

Sunday, November 25th, 2007

Wogel pada mulanya dihasilkan oleh Bill Shankley pada tahun 1920, salah seorang pegawai di Gilwell Park. Beliau menghasilkan wogel corak Simpul Serban (Turk’s Head) yang berlilitan dua. Pada tahun 1943, John Thurman, Ketua Perkhemahan Gilwell Park berhasrat untuk mewujudkan suatu bentuk pengiktirafan bagi pemimpin yang telah menamatkan kursus latihan di setiap peringkat. Pada Tahun 1943 hingga 1989, wogel Gilwel dianugerahkan kepada pemimpin yang menamatkan kursus asas di Gilwell Park. Di Malaysia, setiap Pemimpin Pengakap yang telah selesai menjalani Kursus Kepimpinan Manikayu Peringkat 2 adalah layak untuk memakai Wogel Gilwell.

MALAM PENGAKAP

Sunday, November 25th, 2007

MALAM PENGAKAP

1.                  Pendahuluan

APAKAH DIA ‘MALAM PENGAKAP’ atau ‘MALAM KEBUDAYAAN PENGAKAP’.  Malam Pengakap adalah nama bagi satu temasya yang dipersembahkan oleh kumpulan pengakap untuk bersukaria sebagai menghilangkan kebosanan dan melupakan segala kerja yang telah dibuat semasa berkhemah dll.  Malam Pengakap mungkin ada perhubungan dengan seni budaya Pengakap atau Kebudayaan Pengakap itu sendiri, sebagaimana yang dialami.  Aturcara yang dipersembahkan dalam Malam Pengakap itu adalah datangnya dari pengakap itu sendiri seperti seni tari, seni lakon, nyanyian dll.  Semua itu bercorakkan  seni budaya pengakap.  Untuk perhatian bahawa setiap persembahan yang dibuat oleh pengakap tidaklah seperti persembahan yang diadakan di atas pentas.  Persembahan Malam Pengakap itu hanyalah apa yang terdaya oleh setiap kumpulan pengakap itu sendiri.

2.                  ‘Campfire’

Untuk makluman, Malam Pengakap berbeza sedikit corak dan aturcaranya dalam temasya ‘Campfire’.

a.                   ‘Campfire’ menggunakan unggun api (iaitu unggun api yang dikelilingi oleh pengakap-pengakap yang mengambil bahagian)

b.                  Malam Pengakap tidak menggunakan unggun api hanya menggunakan obor yang dinyalakan di sekeliling kawasan Malam Pengakap

‘Campfire’ (Unggun Api) biasanya digunakan dalam temasya perkhemahan di hutan, di tepi pantai dan sebagainya.  Faedahnya untuk menerangi suasana perkhemahan dan menjauhkan nyamuk serta binatang buas.  Persembahannya mungkin ada persamaan dengan Malam Pengakap.

3.                  Persembahan Malam Pengakap atau Malam Kebudayaan Pengakap

.

a.                   Mempunyai susunan aturcara

b.                  Mengadakan latihan dan menguji bakat

c.                   Seni tari, seni lakon dan menyanyi dikaitkan dalam kebudayaan

d.                  Penapisan (pilihan) untuk aturcara persembahan

Diingatkan bahawa disiplin diutamakan dalam temasya Malam Pengakap.

4.                  Tujuan mengadakan Malam Pengakap

a.                   Untuk menghilangkanrasa bosan dan melupakan segala kerja di siang hari dalam perkhemahan

b.                  Melatih diri berdisiplin, terutama mematuhi arahan dan perintah ketua-ketua dengan taat setia

c.                   Mencungkil bakat seseorang pengakap

d.                  Melatih bekerjasama dan tolong menolong

e.                   Menghormati orang lain (baik pada kawan atau orang tua)

f.                   Melatih supaya menjauhi perasaan malu dan percaya pada diri sendiri

g.                  Malam Pengakap bukan untuk bermegah-megah, hanya untuk diri sendiri

h.                  Yang penting ialah mematuhi undang-undang pengakap dalam semua perkara

5.                  Mengapa diadakan Malam Pengakap

Sudah menjadi satu tradisi kegiatan dalam kumpulan pengakap :-

a.                   Menyambut sesuatu temasya yang ada hubungan dengan pengakap

b.                  Meraikan tetamu atau pelawat dalam satu perjumpaan pengakap

c.                   Jenis Malam Pengakap diadakan :-

i.                 Malam Pengakap (Malam Kebudayaan Pengakap)

Kumpulan

ii.               Malam Pengakap Daerah

iii.             Malam Pengakap Gabungan

iv.             Malam Pengakap Negeri

v.               Malam Pengakap di Jambori Pengakap

5.1              Memberi galakan secara langsung atau tidak langsung kepada Pengakap Kanak-kanak supaya menyertai Malam Pengakap

Sebagai menggalak pengakap kanak-kanak.  Ada baiknya mereka dibawa bersama menyertai Malam Pengakap supaya mereka lebih awal mendapat latihan dan galakan sebagaimana abang-abang mereka.  Ini adalah kerana mereka juga akan menjadi dewasa.  Diingatkan bahawa malam pengakap tidaklah diutamakan kepada pengakap kanak-kanak secara langsung atau tidak langsung.  Tetapi ianya diadakan secara sederhana sahaja supaya mereka dapat mencontohi apa yang abang-abang mereka buat dalam malam pengakap.

5.2              Perasaan ingin bersuka ria/gembira

Setiap AKELA (Pemimpin Pengakap Kanak-kanak) seharusnya mengambil perhatian terhadap perasaan dan jiwa kanak-kanak.  Ini adalah kerana mereka mempunyai perasaan semulajadi ingin merasa gembira dan bersukaria dan ingin tahu sesuatu, amak berikanlah mereka suatu hiburan tersendiri iaitu “Malam Pengakap Kanak-kanak”

6.                  Malam Pengakap Kanak-kanak

Kalau kumpulan pengakap ada Malam Pengakap, maka kumpulan pengakap kanak-kanak juga boleh mengadakan satu temasya seumpama itu.

Semasa malam pengakap kanak-kanak, AKELA (pemimpin) mestilah berusaha dan bertanggungjawab serta bijak untuk mengubah suai acara supaya seimbang dengan jiwa dan peringkat umur serta kebolehan kanak-kanak.

7.                  Perbezaan persembahan

7.1              Acara nyanyian

Nyanyian bagi pengakap kanak-kanak haruslah bercorak kanak-kanak.  Ianya senang, mudah dinyanyikan dengan gembira serta bersemangat/perasaan.

7.2              Senitari

Tarian juga disesuaikan dengan cara yang mudah serta bercorak kanak-kanak.

7.3              Seni lakon

Cara berlakon juga diambil perhatian, supaya kanak-kanak itu benar-benar dapat melakonkan dengan gaya semulajadi bagi kanak-kanak itu sendiri.

Dalam tiga perkara tersebut, hendaklah dilatih dengan sebaik-baiknya oleh pemimpin yang mengendalikan acara tersebut.

8.                  Persediaan untuk Malam Pengakap Kanak-kanak

Sebelum mengadakan sesuatu persembahan maka pemimpin (AKELA) yang bertanggungjawab terlebih dahulu mengadakan mesyuarat bagi menyediakan beberapa perkara seperti berikut :-

a.                   Menentukan tempat mengadakan Malam Pengakap Kanak-kanak.

b.                  Membuat aturcara (Program) dan Juruacara sekali.

c.                   Membuat jemputan kepada kumpulan-kumpulan pengakap yang berdekatan.

d.                  Menentukan seorang yang dianggap berpengaruh di kawasan itu untuk merasmikan Malam Pengakap Kanak-kanak.

e.                   Menjemput dua atau tiga orang kenamaan dan ibu bapa kanak-kanak, pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap, pemimpin dll.

f.                   Menyediakan jawatankuasa persiapan, kerusi, obor, minuman dll :-

i.          jamuan ringan untuk VIP

ii.                  jamuan untuk pengaap dll

Sebelum Malam Pengakap Kanak-kanak dimulakan, pastikan :-

a.                   Semua peserta yang mengambil bahagian bersedia di tempat masing-masing, senyap, berdisiplin dan mendengar arahan ketua

b.                  Tuan rumah hendaklah menyediakan tempat duduk para jemputan VIP

c.                   Memberi penghormatan kepada ketua pengakap atau wakilnya, wakil rakyat, Menteri / Wakil Menteri apabila datang

d.                  Memberi tahu kepada orang yang merasmikan masa untuk dia menyampaikan ucapan dan perasmian

e.                   Apabila ucapan perasmian telah selesai :-

i.          memberi tepukan yang gemuruh

ii.                  diikuti dengan nyanyian pembukaan Malam Pengakap Kanak-kanak

iii.                memulakan acara seberapa segera yang boleh

f.                   Tiap-tiap kumpulan diminta mengadakan YELL kepada kumpulan yang memberi persembahan

g.                  Masa persembahan tidak lebih daripada 5 hingga 6 minit sahaja, kecuali lakonan dan terian iaitu selama 7 minit

h.                  Tarian hendaklah sopan.  Buatlah tarian yang baik dipandang orang

i.                    Alat penerang biasanya menggunakan unggun api.  Ianya boleh digantikan dengan obor yang diperbuat dari bambu yang dipacak ke tanah di sekeliling kawasan persembahan. Boleh juga menggunakan lampu (letrik).  Adalah diingatkan bahawa unggun api boleh merosakkan kawasan.  Oleh itu, ianya sesuai di kawasan pantai atau hutan.  Faedah unggun api :-

i.          manjauhkan nyamuk dan agas

ii.                  memanaskan badan semasa sejuk

iii.                menjauhkan binatang buas

iv.                boleh dijadikan tempat memasak air atau memanggang ikan, roti dll

j.                    Pakaian seragam pengakap harus dipakai sebelum mengadakan sesuatu persembahan dll

k.                  Jamuan ringan untuk VIP dan para jemputan hendaklah disediakan lebih awal.

l.                    Jaga kebersihan kawasan

m.                Ketua-ketua kumpulan pengakap hendaklah bekerjasama menjaga dan mengemas alat-alat yang telah digunakan dan juga memulangkan kerusi atau bangku yang telah dipakai.

9.                  Bagaimana untuk menyediakan kawasan Malam Pengakap

a.                   Cari satu kawasan yang luas dan lapang, dan jauh dari tempat-tempat larangan seperti balai polis, hospital, bomba dan tempat ibadat

b.                  Boleh juga meminjam Dewan Masyarakat dan Balairaya, tetapi hendaklah menjaga keselamatan dan kebersihan

10.              Aturcara Malam Pengakap Kanak-kanak

a.                   Mesyuarat harus diadakan di antara kumpulan pengakap yang turut serta dalam persembahan

b.                  Menyusun acara

c.                   Mengadakan penapisan awal sebelum dipersembahkan.  Pilih seorang pengerusi khas untuk menjaga persembahan tersebut

d.                  Semua persembahan harus dapat didengar dan dilihat oleh penonton

e.                   Masa persembahan hanya 2 jam sahaja

f.                   Adakan muzik sendiri dari kanak-kanak itu sendiri, kalau ada.

ASAL USUL MANIKAYU

Tuesday, November 20th, 2007

Apabila Gilwell Park dibeli untuk pergerakan Pengakap pada tahun 1919 dan latihan formal diadakan, BP rasa setiap pemimpin yang tamat dengan setiap kursus latihan patut menerima sesuatu sebagai pengiktirafan. Pada mulanya, BP ingin sesuatu hiasan yang dipakai pada topi Pengakap tetapi pada akhirnya memilih dua ‘bead’ yang kecil bergantung di topi Pengakap atau lubang butang kot yang digelar Manikayu (Wood Badge). ‘Bead’ bergantung di topi Pengakap akhirnya diganti dengan tali kulit dan digantung di leher sehingga hari ini.

Manikayu pertama adalah diperbuat daripada biji manik yang dimiliki dan dikalung di leher Ketua Zulu bernama Dinizulu. BP berjumpa Dinizulu pada tahun 1888. Dalam sesuatu pejumpaan, leher Dinizulu dikalung dengan rantai yang sepanjang 12 kaki yang mempunyai lebih kurang 1000 biji manik.

Apabila BP mencari sesuatu tanda untuk pemimpin yang tamat menjalankan kursus di Gilwell park, BP teringat rantai leher Dinizulu yang dihadiahkan kepadanya. BP mengambil dua ‘bead’ yang kecil dan membuat satu lubang kecil di tengah ‘bead’ dan bergantung dengan tali kulit. Inilah asalnya bagaimana manikayu telah wujud.

Pada mulanya, manikayu adalah diperbuat dari ‘bead’ rantai leher Dinizulu. Dengan cepatnya pembekalan menjadi tidak mencukupi. Dengan itu, apabila seseorang pemimpin tamat latihan, ia akan diberi satu ‘bead’ yang asal dan satu bead lagi kena dibuat sendiri dengan mengunakan kayu yang didapati di Gilwell Park.